Posted by: silamgemilang | Julai 14, 2009

Intramuros kumpul sejarah Filipina

Intramuros kumpul sejarah Filipina

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my


 

Bekas kubu simpan tinggalan, kesan perang lebih tiga dekad rejim Sepanyol

MUNGKIN sukar dipercayai, peristiwa berlaku 500 tahun lalu di kota metropolitan Manila, Filipina boleh dijejaki semula hanya dalam tempoh sehari dengan mengunjungi Muzium Intramuros yang dibina sebelum era penjajahan Sepanyol di Filipina pada 1570.

Muzium itu adalah kubu perang kerajaan Manila di Pulau Luzon pada zaman silam dan turut digunakan sebagai tapak pertahanan untuk menentang Sepanyol, selain bukti kebangkitan rakyat Filipina menuntut kemerdekaan.
Tiga tokoh yang sinonim dengan perjuangan kemerdekaan Filipina daripada penjajahan Sepanyol iaitu Rajah Sulayman, Lapu-Lapu dan Dr Jose Rizal bagaikan berada di depan mata ketika berada di destinasi unik itu.

Ia dilengkapi pelbagai plak dokumen sejarah, lukisan, arca, patung wira republik, replika pelbagai peralatan meliputi senjata, teko dan mesin percetakan majalah serta akhbar dan kenderaan pada era kolonial.

Pengunjung disajikan dengan tayangan video dilakonkan semula mengenai kejayaan Sepanyol diketuai panglima perang, Miguel Lopez de Legaspi menawan kerajaan Manila yang ditadbir Rajah Sulayman pada 1570.

AntArA replika era penjajahan Sepanyol di Filipina di Kubu Intramurous, Manila, Filipina.

Rajah Sulayman, tokoh Islam berketurunan Tausug terus berjuang mengembalikan kedaulatan kerajaan Manila sehingga mati dibunuh penjajah pada 1571.

Lapu-Lapu yang juga beragama Islam berketurunan Tausug adalah Raja Mactan, sebuah wilayah di Pulau Cebu dan beliau dikenang kerana berjaya membunuh lagenda pelayar, penakluk dan penyebar Kristian Sepanyol berbangsa Portugis, Ferdinand Magellan pada 27 April 1521.

Lapu-Lapu atau juga dikenali Kalifah Pulaka masyhur sebagai tokoh nasionalis dan rakyat Filipina yang pertama menentang kolonial Sepanyol.

Sebagai mengenang jasanya, rakyat Cebuano menggantikan nama kota Opon di Cebu kepada Kota Lapu-Lapu, selain mendirikan patung tokoh itu.

KeretA kuda adalah pengangkutan unik yang popular di Manila.

Rizal pula dihukum bunuh dengan menembaknya pada 28 Ogos 1893 kerana membangkitkan semangat patriotisme rakyat memerdekakan Filipina menerusi pena termasuk karyanya di majalah Sepanyol, La Solidaridad.

Di luar Muzium Intramuros yang dikenali wilayah Intramuros yang bermaksud `Berada dalam cermin’ menyimpan banyak sejarah sebagai pusat politik, ketenteraan dan budaya kekuasaan rejim Sepanyol selama 328 tahun di Manila.

Gereja Roman Katholik bersejarah San Augustine yang dibina pada 1508 adalah antara tarikan kawasan ini, begitu juga bangunan Intendencia Ruin yang musnah dibom ketika Perang Dunia Kedua pada 1941 hingga 1945.

Casa Manila pula adalah kediaman eksklusif pembesar Sepanyol dilengkapi gerbang dihiasi kereta kuda dan pedati, ruang tamu ada landskap indah, bilik rehat pembesar, perabot lama, seterika antik menggunakan arang kayu, dapur kayu api dan pelbagai aksesori pada era 1800.

Keunikan kota metropolitan Manila dapat dinikmati penulis bersama 11 rakan media dari Sabah dan pegawai Lembaga Pelancongan Sabah (STB) yang berada empat hari di situ atas jemputan Jabatan Pelancongan Filipina dan Syarikat Penerbangan Cebu Pasific Air (CEB) pada 15 hingga 18 Ogos lalu.

Pengangkutan unik turut ditawarkan kepada pengunjung di Manila iaitu kenderaan dikenali `jeepney’ yang menjadi identiti kota metropolitan itu, selain boleh kembali ke zaman silam dengan menaiki kereta kuda atau beca.

Bagi mereka yang berminat membeli kraf tangan unik dan pakaian ada corak keindahan Filipina, Mananzan Handicrafts, Pusat Beli-Belah Green Hills dan Tiendesitas adalah destinasi yang wajib dikunjungi.

Mengunjungi Green Hills membolehkan penulis menemui peniaga beragama Islam dari etnik Maranao atau di negara kita, Iranun yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian dan kraf tangan.

Seorang peniaga wanita yang memperkenalkan dirinya dari etnik Maranao, terkejut apabila penulis menyapanya `Antuna e abar?’ (bahasa Iranun yang bermaksud `Apa khabar?’) serta peniaga itu menjawab `Mapia’ (khabar baik).

Pusat Rekreasi Enchanted Kingdom menjanjikan keunikan tersendiri dengan pengunjung seolah-olah berada di tiga benua iaitu Victoria Park bagaikan di London; Midway Boardwalk pula membawa pengujung ke salah sebuah taman hiburan tertua Amerika Syarikat di Pulau Coney; dan Jungle Outpost menyingkap misteri dan pengembaraan lasak di hutan tebal Amazon, Brazil.

Justeru, kunjungan ke kota metropolitan Manila membawa pengunjung ke dua era berbeza iaitu zaman moden dan ketika penjajahan Sepanyol pada 1570 hingga 1898.

FAKTA: Filipina

  • Filipina memiliki 7,107 pulau yang menawarkan keindahan semula jadi, pengembaraan lasak di darat dan dasar laut serta penduduknya kaya dengan kebudayaan.
  • Kelab Rekreasi dan Permainan (Pagcor) menawarkan aksi akrobatik yang menghiburkan dengan penampilan gabungan kumpulan akrobatik dari Filipina, China dan Russia yang membuat persembahan dua jam.
  • Taman Peringatan Perang Filipina seluas 16 hektar menyemadikan 17,000 tentera Filipina,, Amerika Syarikat, Israel dan Burma yang terkorban ketika Perang dunia Kedua pada 1941 hingga 1945.
  • Istana Kelapa, simbolik Filipina sebagai pengeluar kopra dan minyak kelapa terbesar di dunia dibina menggunakan 100 peratus sumber kelapa merangkumi pokok, tempurung dan sabut menjadi antara tarikan Manila.
  • Mall of Asia iaitu pusat beli-belah terbesar di Asia dan keempat terbesar di dunia yang merentangi tiga kilometer Teluk Manila menyeronokkan bagi mereka yang gemar membeli belah seperti pakaian dan kraf tangan, selain menonton wayang.
  • Mengunjungi Tugu Peringatan Dr Jose Rizal membawa pengunjung ke alam perjuangan nasionalis Filipina yang dikatakan berketurunan Melayu itu menentang penjajah Sepanyol.
  • Di Teluk Manila ada Taman Laut Manila yang menempatkan akuarium besar dengan pelbagai spesies ikan seperti jerung, pari dan ketam gergasi.
  • Sungai Pasig sepanjang 25 kilometer turut merentangi kota metropolitan Manila yang merangkumi 14 bandar raya dan tiga majlis perbandaran dengan penduduk dianggarkan 14 juta orang.

    Bagaimana Ke Manila?

  • Ada penerbangan pesawat Cebu Pasific Air (CEB) dari Manila ke Kota Kinabalu atau sebaliknya setiap dua kali seminggu iaitu pada Jumaat dan Isnin dengan tambang mulai RM79 sehala.
  • Penerbangan CEB dari Manila ke Kuala Lumpur empat kali seminggu setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad manakala dari Kuala Lumpur ke Manila juga empat kali seminggu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.
  • Penerbangan mengambil masa 110 minit dari Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Kota Kinabalu ke Terminal Tiga, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila.
  • CEB yang beroperasi sejak Mac 1996 menawarkan tambang murah harga terbaik dalam industri penerbangan dengan sasaran menarik lebih ramai pelancong Malaysia ke Manila.
  • Keterangan lanjut boleh diperoleh menerusi laman web CEB di alamat: http://www.cebupacificair.com. 
  • Advertisements

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    Kategori

    %d bloggers like this: