Posted by: silamgemilang | Julai 13, 2009

Kota Kuala Kedah Pintu Masuk Ke Langkawi

yb sallehKota Kuala Kedah Pintu Masuk Ke Langkawi

<!–

By: Ramjit

–>

Oleh Munirah Abdul Aziz

ALOR STAR, 13 Julai (Bernama) — Mungkin tidak ramai yang tahu tentang cerita di sebalik sejarah Kota Kuala Kedah. Jarang sekali generasi muda didedahkan kepada sejarah kota lama ini.

Jika ditanya, ramai yang pasti menjawab: “Ia adalah pintu masuk ke Pulau Langkawi”. Itu sahaja, tiada yang menarik mengenainya untuk diceritakan lebih lanjut.

Kota Kuala Kedah suatu ketika dulu dikenali sebagai Kota Kuala Bahang, terletak 12 km dari sini, dengan keluasan lebih 2.0 hektar.

Kota ini dibina dengan menggunakan tanah liat, kayu bakau dan buluh semasa pemerintahan Sultan Sulaiman Shah yang memerintah Kota Seputih pada ketika itu.

JADI REBUTAN

Kedudukannya yang strategik dari segi pertahanan dan perdagangan menyebabkan Kota Kuala Kedah menjadi rebutan, bukan sahaja oleh pihak Aceh, Siak, Bugis dan Siam, malah negara asing seperti Belanda, Portugis dan Inggeris yang merebut bahagian mereka dalam perniagaan rempah di Asia Tenggara.

Selepas roboh beberapa kali akibat diserang musuh, Sultan Kedah ke-20, Sultan Abdullah Mukharam Shah mengarahkan supaya kota itu dibina semula.

Seorang arkitek bernama Hafiz Sab, mengetuai pembinaan semula kota itu dan beliau telah melukis pelan dan reka bentuk sebuah kota di atas tapak asalnya.

Tembok kota diperbuat daripada batu-bata merah dengan menggunakan bahan adunan tempatan seperti kapur, kulit kerang, kulit siput di samping telur putih dan manisan lebah.

Batu-bata yang digunakan adalah bermutu tinggi dan dibuat oleh tukang batu dari India yang menggunakan tanah asal yang diambil di bandar Alor Star.

KEISTIMEWAAN

Ketua Kompleks Sejarah Kota Kuala Kedah, Md Zokhi Tahir berkata keteguhan seni bina Kota Kuala Kedah masih boleh dilihat sehingga kini. Tiada kota lain yang masih wujud sehingga hari ini kecuali Kota Kuala Kedah, dan inilah keistimewaan kota ini.

“Untuk memastikan kota ini kekal utuh agar sejarah kegemilangannya tidak dilupakan begitu sahaja, Jabatan Muzium Malaysia melakukan proses baik semula kota,” katanya.

Beliau berkata proses membaik pulih kota itu melibatkan pembinaan semula tembok dan dua pintu gerbangnya.

“Kota yang dibina semula adalah mengikut reka bentuk asal dan bahan yang digunakan juga hampir sama dengan bahan asal,” katanya.

ARTIFAK

Selain itu, Kota Kuala Kedah juga mempunyai peninggalan artifak seperti pinggan mangkuk seramik, meriam dan peluru.

“Penemuan artifak seperti pinggan seramik ini membuktikan bahawa Kota Kuala Kedah merupakan pusat perdagangan yang terkenal di era tersebut selain dijadikan sebagai benteng pertahanan,” katanya.

Md Zokhi berkata bagi memastikan ia terus popular sebagai warisan sejarah negara untuk tatapan generasi akan datang, pengurusan Kompleks Kota Kuala Kedah menjalankan pelbagai usaha menggalakkan pelawat ke kota ini.

“Kami menyediakan lawatan berpandu selain memberi maklumat mengenai kota ini,” katanya.

HAYATI SEJARAH SAMBIL BERIADAH

Bagi mengindahkan lagi kawasan kota bersejarah ini, pihak pengurusan Kompleks Kota Kuala Kedah turut membangunkan kawasan sekitar seperti membina tebing kota dan tempat berjalan kaki di sepanjang sungai berdekatan.

“Selain melawat, pengunjung juga boleh beriadah sambil menikmati pemandangan indah di sepanjang Sungai Kedah,” katanya.

Md Zokhi berkata kemudahan awam seperti kafeteria, tandas awam, surau, pejabat informasi, ruang niaga dan gerai cendera mata turut disediakan.

“Kami mahu menghidupkan kawasan sekitar, bukan hanya menjadikan Kota Kuala Kedah sekadar tempat bersejarah yang boleh dilawati tetapi juga sebuah tempat yang dijadikan pilihan pengunjung untuk beriadah dan bersantai,” katanya.

— BERNAMA

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: