<!–
By: Ramjit
–>
MELAKA, 28 Jun (Bernama) — Dua negara jiran, Singapura dan Indonesia akan difokuskan untuk menarik pelancong asing melawat ke negara ini berikutan wabak Influenza A(HINI) yang menjejaskan kedatangan pelancong luar negara.
Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata pemilihan Singapura dan Indonesia untuk program promosi ini berdasarkan kedua-dua negara itu adalah jiran terdekat.
“Mereka lebih memahami situasi wabak Influenza A(H1N1) di Malaysia tidak begitu membimbangkan dan masih boleh dilawati berbanding negara-negara lain di rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat dengan Majlis Tindakan Pelancongan Melaka (MTPM) di sini hari ini.
Beliau berkata pelancong dari kedua-dua negara itu lebih selesa untuk melawat negara terdekat berbanding dengan negara-negara jauh.
Menurutnya sasaran bagi 20 juta pelancong asing melawat Malaysia tahun ini juga dijangka tidak dapat dicapai mungkin 15 juta orang berikutan dengan krisis ekonomi global dan wabak Influenza A(H1N1).
Dr Ng berkata penularan wabak Influenza A(HINI) yang disytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengakibatkan ramai pelancong seluruh dunia membatalkan tempahan mereka ke negara ini.
“Malaysia turut menerima tempias apabila reaksi maklum balas daripada agensi pelancongan di China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan telah menurun sehingga 20 peratus pada bulan ini bagi rakyat negara itu melawat luar negara berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
Menurutnya kementeriannya akan mengadakan mesyuarat krisis pengurusan pelancongan esok dengan penggerak sektor pelancongan di negara ini bagi menghadapi situasi wabak Influenza A(HINI) itu.
“Ini adalah mesyuarat pertama yang kita adakan pada tahun ini bagi kita menyusun strategi menarik pelancong asing yang dijangka menurun untuk bulan ini dan Julai,” kata beliau.
Kali terakhir kementerian mengadakan mesyuarat yang sama pada Disember tahun lepas berikutan kekalutan akibat penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok, Thailand.
Mengenai rakyat Malaysia melancong ke luar negara, Dr Ng berkata jumlahnya menurun sebanyak 20 peratus bagi bulan ini berikutan kebimbangan mereka akan wabak itu di negara-negara yang akan dilawati.
Menyentuh sektor pelancongan di Melaka, beliau amat berpuas hati kerana Melaka yang hanya mempunyai 750,000 penduduk mempunyai kedatangan pelancong sebanyak 7.2 juta pada tahun lepas iaitu pada nisbah satu penduduk, 10 pelancong.
“Ini adalah pencapaian yang sangat baik yang dilakukan oleh kerajaan negeri yang mengemudi sendiri program pelancongan di luar negara termasuk Indonesia dan Singapura,” tambah beliau.
Dr Ng berkata program peningkatan infrastruktur dan tambah nilai pada 160 produk pelancongan yang ada di negeri ini akan dilaksana dan antara yang dikenal pasti ialah Taman 1,000 Bunga di Ayer Keroh di sini yang menghimpunkan koleksi bunga-bungaan dan tanaman herba.
— BERNAMA
Tinggalkan Jawapan