Posted by: silamgemilang | Jun 28, 2009

Manusia Dan Buaya Di Sungai Linggi Ada Perjanjian

 

<!–

By: Ramjit

–>

Oleh Shahrullizan Rusli

PORT DICKSON, 24 Jun (Bernama) — Ini hanyalah satu lagenda lama, pada zaman dahulu kala orang kampung dan buaya di Sungai Linggi dikatakan ada membuat satu perjanjian.

“Kita jangan usik-usik. Kita buat hal masing-masing. Insya Allah kita akan selamat sehingga ke anak cucu”, begitulah kononnya bunyi perjanjian itu dan ia mungkin benar kerana belum ada terdengar serangan buaya ke atas manusia sehingga sekarang di Sungai Linggi seperti mana yang terjadi di sungai-sungai di negeri Sarawak.

Begitu pun, manusia terutama orang luar diminta menghormati pantang larang seperti mana yang tercatat pada papan tanda di kaunter jualan tiket bot PD Travel & Tours Sdn Bhd di Pengkalan Kempas, Sungai Linggi yang meminta pelancong tidak menepuk-nepuk air atau membasuh kaki di sungai itu.

Satu lagi papan notis yang mengesahkan kewujudan buaya didirikan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan sebelum pelancong menaiki jeti.

Ia berbunyi: “Dilarang mengganggu buaya dan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No 76 tahun 1976. Anda boleh dikenakan denda RM2,000 sehingga RM10,000 atau penjara dua hingga 10 tahun”.

LIHAT BUAYA BERJEMUR

Kesemua misteri ini sebenarnya hanya menambahkan minat untuk pelancong meneroka mistik Sungai Linggi, Sungai Timun, Sungai Rembau dan Sungai Pedas di Negeri Sembilan.

Pengerusi Kumpulan PD Travel & Tours Sdn Bhd Datuk Yaacob Hussin pula berpesan kepada penulis Bernama supaya tidak “cakap lepas” dan nasihat yang sama sering juga diberikan kepada pelancong yang menaiki bot di pengkalan itu.

Menurut Yaacob, data daripada Perhilitan menunjukkan ada lebih kurang 3,000 ekor buaya di Sungai Linggi dan di mana ada buaya, di situlah ada burung bangau.

“Orang memang suka datang untuk melihat buaya, pengalaman menyaksikan buaya berjemur di tebing sungai tidak sama dengan perasaan kita melihat buaya di dalam kandang,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa pengalaman menyusuri Sungai Linggi untuk menyaksikan buaya yang biasanya dibuat pada waktu siang hari adalah selamat sepenuhnya.

KELIP-KELIP

Pada waktu petang hingga malam pula, bot-botnya akan membawa pelancong menyusuri Sungai Linggi sehingga ke Sungai Timun untuk menyaksikan serangga kelip-kelip menghiasi pokok Berembang seumpama bintang palsu yang menghiasi pohon Krismas.

“Kadang-kadang jika ada lampu suluh, kita boleh lihat buaya-buaya ini dalam gelap, hanya mata mereka yang berwarna merah sahaja yang nampak”, katanya.

Penulis yang menaiki bot syarikat itu dalam program Kembara Zoom Malaysia siri Jejak Perpatih IV berpeluang menyusuri Sungai Linggi sebelum tiba di jeti pengkalan Sungai Timun yang agak terkenal dengan masakan udang galahnya yang manis.

Perjalanan selama sejam sebenarnya terasa agak mencabar selepas mengetahui di sebalik tebing yang dipenuhi pokok bakau terdapat puluhan ekor buaya memerhatikan bot penulis.

Bukan sekadar buaya, bangau dan kelip-kelip sahaja yang menjadi daya tarikan Sungai Linggi ini kerana yang sebenarnya sungai ini kaya dengan sejarah.

SEJARAH SUNGAI LINGGI

Jika menyusuri sungai, pengunjung akan melihat kawasan Tebing Tinggi iaitu satu kawasan berbatu yang menjadi tempat Raja Melawar iaitu moyang kepada raja-raja di Negeri Sembilan hari ini menjalankan hukuman ke atas rakyatnya yang menderhaka.

Menurut cerita orang kampung, dahulu ada kubur di kawasan itu tetapi proses hakisan menyebabkan kubur itu yang dipercayai mereka yang telah dihukum bunuh terbenam ke dalam air sungai.

Pengunjung juga akan melihat satu tapak yang sebenarnya adalah bangunan mengutip cukai pada zaman dahulu kala, cukai-cukai ini dikenakan ke atas perahu atau kapal yang membawa barang dagangan ke Pengkalan Kempas.

Mengikut sejarah, Sungai Linggi adalah jalan pengangkutan yang sangat penting dan di beberapa kawasan di sungai itu terutama di kawasan Sungai Rembau dan Sungai Pedas ada didirikan kubu pertahanan ketika berlaku peperangan dengan Inggeris satu masa dahulu.

Di Pengkalan Kempas sendiri, terdapat tempat menarik seperti Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas dan makam seorang ahli ulamak dari India yang datang ke bandar kecil itu pada zaman dahulu.

Penulis memberi jaminan, tidak rugi melawat Sungai Linggi melalui jeti Pengkalan Kempas kerana ia hanya mengambil masa 20 minit sahaja perjalanan dari Teluk Kemang, Port Dickson.

Harga tiket bot yang ditawarkan juga amat berpatutan iaitu RM18 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak dan tempahan boleh dibuat melalui PD Travel & Tours melalui laman web http://www.kumpulanybh.com atau di kaunter mereka di jeti Pengkalan Kempas, Linggi.

Jika hendak melihat buaya dan kelompok burung bangau dengan jelas, datanglah pada waktu siang dan jika kelip-kelip menjadi pilihan, pengunjung boleh bertolak selepas senja tetapi eloklah membawa lampu suluh masing-masing.

— BERNAMA

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: