Posted by: silamgemilang | Jun 28, 2009

Macau Punyai Pusat Sejarah Unik

 

<!–

By: Ramjit

–>

Oleh Haslin Gaffor

MACAU, 25 Jun (Bernama) — Macau, yang terletak di Wilayah Guangdong, China, bukan sahaja terkenal dengan kasino malahan tarikan sejarah khususnya peninggalan Portugis.

Dan tidak hairanlah, kota ini memiliki sebuah Pusat Sejarah Macau yang tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia ke-31 di China dan menjadi daya tarikan kepada pelancong.

Keunikan yang terdapat di pusat sejarah ini ialah sebuah kota kuno yang mengandungi antaranya bangunan gereja lama, gedung bersejarah, kuil dan tembok kota lama.

Elemen bersejarah ini menjadikan adunan kota lama dan pembangunan pesat dalam perindustrian terutama kemunculan pusat peranginan serta bangunan kasino memeriahkan lagi tarikan pelancongan di Macau.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai Macau ketika penulis menyertai kumpulan media dari Sabah dan Sarawak menerokai kota Macau atas jemputan Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau baru-baru ini.

TEROKA SEJARAH KOTA MACAU

Lawatan ke sebahagian bangunan lama yang terdapat di Pusat Sejarah Macau antaranya Ruins of St.Paul, Kuil Na Tcha, Tembok Kota Lama, Senado Square, Bangunan Leal Senado, Gereja St. Lawrance (dibina pada 1858) dan Gereja St. Joseph (1758), memberi peluang untuk menerokai sejarah Macau.

Ruins of St.Paul merupakan peninggalan halaman depan berbatu dan tangga dari sisa bangunan gereja St.Paul yang dibina pada 1602 dan turut menempatkan Kolej Jesuit St.Paul yang menjadi universiti Barat pertama di Asia untuk ahli astronomi dan matematik.

Bagaimanapun, pada 1835, kebakaran melanda gereja dan universiti ini yang meninggalkan hanya halaman depan dengan baris empat tiang dilengkapi dengan ukiran dan patung.

Lokasi ini menjadi tarikan utama kepada pelancongan Macau dan turut dijadikan lokasi pertunjukan muzik dan persembahan kebudayaan masyarakat Macau dan komuniti kecil Portugis.

Macau mempunyai populasi penduduk dianggarkan berjumlah 549,200 dengan 90 peratus adalah etnik Cina dari wilayah berbeza dikenali sebagai Guangdong dan Fujian. Enam peratus lagi adalah rakyat asing Portugis, Eropah dan lain negara.

Kunjungan ke Macau tidak lengkap jika tidak ke Senado Square yang merupakan kawasan membeli-belah yang dilengkapi dengan butik pakaian jenama tempatan dan luar negara, kafe dan kedai cendera hati.

Laluan pejalan kaki yang unik dibuat menggunakan batu mozek corak berombak inspirasi oleh gaya dan bahan dari Portugal menjadi penarik kepada kawasan membeli-belah ini, yang turut terkenal sebagai tempat mengadakan acara kebudayaan.

MUZIUM YANG UNIK

Muzium Macau merupakan lokasi yang perlu dikunjungi kerana di sini terdapatnya pameran sejarah mengenai Macau sejak empat abad lepas dan replika rumah lama yang terdapat di Macau.

Bagi peminat lumba kereta dan motosikal, kunjungan ke Muzium Grand Prix Macau pasti berbaloi kerana di sini terdapat pameran mengenai sejarah perlumbaan dan replika kereta serta motosikal yang digunakan dalam beberapa siri perlumbaan di dunia.

Macau memang terkenal dengan penganjuran siri beberapa perlumbaan kereta atau motosikal dengan mempunyai litar lumba yang dikenali sebagai Sirkit Grand Prix Macau.

Setiap tahun siri perlumbaan Formula 3 yang melahirkan pemandu muda berbakat ke Formula 1 seperti Luis Hamilton dianjurkan di sirkit ini pada setiap bulan November yang menggunakan jalan raya di sekitar kota Macau.

Terdapat 17 lagi muzium di sekitar Macau dengan tema yang berbeza antaranya kesenian, wain, maritim, komunikasi, alat muzik dan perkhidmatan bomba.

Seperti bandaraya besar lain di dunia yang mempunyai menara tertinggi, Macau juga mempunyai menaranya sendiri yang mempunyai ketinggian 338 meter dan tersenarai dalam 10 menara tertinggi di dunia.

Selain dapat menikmati pemandangan yang menarik sekitar kota Macau, pengunjung boleh mencuba juadah makanan di restoran berpusing yang terdapat di atas menara ini atau mencuba aktiviti riadah lain iaitu Sky Jump serta Mast Climb.

Macau mempunyai keluasan keseluruhan berjumlah 29.2 kilometer persegi merangkumi kawasan semenanjung Macau berkeluasan 9.3 kilometer persegi yang menghubungkan kepada tanah besar China, Pulau Taipa (6.7 km persegi), Coloane (7.6 km persegi) dan Cotai (5.6 km persegi).

Bagi menghubungkan Macau dengan Pulau Taipa, tiga jambatan utama dibina yang masing-masing sepanjang 4.5 kilometer, 2.5 km dan 2.2 km.

Macau mempunyai Pentadbiran Khas Wilayah Republik Rakyat China (subs: Special Administrative Region of the People’s Republic of China) dan seperti Hong Kong, Macau juga menerima kelebihan dari segi pentadbiran sendiri berlandaskan ‘satu negara, dua sistem’.

Pada masa sekarang industri Macau juga pesat membangun seperti tekstil, elektronik dan kewujudan pusat peranginan bertaraf lima bintang memeriahkan lagi industri pelancongan di wilayah ini.

KASINO

Industri pelancongan di Macau tidak dapat dipisahkan dengan kasinonya yang turut mewujudkan hotel bertaraf lima bintang, pusat peranginan dan pusat membeli-belah.

Beberapa syarikat kasino besar antaranya dari Hong Kong dan Las Vegas Amerika Syarikat membuka cawangan masing-masing di Macau, sekaligus memeriahkan lagi industri perhotelan di Macau.

Apa yang menariknya, terdapat antara kasino ini menyediakan pusat membeli-belah di dalamnya dengan seni bina dan suasana yang menarik seperti di Macau Fisherman’s Wharf dan di Venetian.

Menjelang malam, Kota Macau dilihat lebih meriah dengan sinaran dan kerlipan lampu berwarna-warni dari beberapa bangunan kasino yang dibina dengan unik dan moden.

Macau sememangnya menjadi lokasi terkenal kepada pelancong dari Malaysia berdasarkan peningkatan yang mendadak dengan hanya 48,391 orang dicatatkan melawat Macau pada 2004 dan meningkat kepada 428,603 orang pada tahun lepas.

Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, 136,142 rakyat Malaysia telah berkunjung ke Macau dan perkhidmatan penerbangan syarikat tambang murah AirAsia memudahkan pelancong Malaysia berkunjung ke Macau.

AirAsia menyediakan penerbangan terus Macau-Kota Kinabalu, Macau-Kuching dan Macau-Kuala Lumpur.

— BERNAMA

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: