Posted by: silamgemilang | Mei 4, 2009

Agensi pelancongan tidak terjejas

KUALA LUMPUR 3 Mei – Perniagaan agensi-agensi pelancongan tempatan tidak terjejas berikutan tercetusnya wabak virus selesema babi (H1N1) di seluruh dunia pada masa ini. Ini adalah kerana rata-rata pakej pelancongan yang ditawarkan oleh mereka tertumpu di rantau Asia. Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Chay Ng berkata, Malaysia tidak mempunyai banyak agensi pelancongan yang menawarkan pakej pelancongan ke negara yang terjejas teruk akibat virus H1N1 itu. “Pakej pelancongan ke negara-negara seperti Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada menelan kos yang lebih besar berbanding pakej pelancongan di negara rantau Asia. “Bagaimanapun, saya difahamkan ada agensi pelancongan yang telah mengurangkan kekerapan mereka untuk menghantar rombongan pelancong ke negara yang dilanda virus selesema babi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan terbarunya memaklumkan tiga buah negara lagi iaitu Costa Rica, Perancis dan Republik Korea telah mengesahkan kes virus itu di negara masing-masing. Keadaan ini menjadikan jumlah negara terlibat kepada 16 buah negara dan jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan adalah sebanyak 658 kes dengan 17 kematian iaitu penambahan sebanyak 291 kes berbanding hari sebelumnya. Chay Ng berkata, agensi pelancongan akan menunda jadual perjalanan mereka sekiranya mendapat permintaan daripada orang awam yang telah mendaftarkan diri untuk menyertai rombongan pelancongan tertentu pada masa ini. “Selain itu, kami percaya minat rakyat tempatan untuk melancong ke negara Asia seperti Hong Kong, China, Korea Selatan, Jepun dan Taiwan tidak banyak terjejas berikutan penularan virus influenza A (H1N1). “Mereka tahu bahawa negara-negara terbabit mempunyai banyak pengalaman dan persediaan dalam mengawal serta mencegah penularan wabak penyakit sejak tercetusnya Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) beberapa tahun lalu,” katanya. Menurut Ng, pihaknya menasihati kakitangan agensi pelancongan tempatan untuk meningkatkan tahap pemantauan terhadap aspek kesihatan diri sendiri dan para peserta rombongan pelancongan ketika berada di luar negara. “Mereka perlu segera mendapat rawatan di hospital terdekat dan memohon bantuan daripada kedutaan Malaysia sekiranya mempunyai tanda-tanda seperti batuk, demam dan selesema,” katanya. Sementara itu, Bendahari Kehormat Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), K. Narayanan berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat daripada ahli-ahlinya berhubung pembatalan jadual perjalanan ke negara yang dilanda virus influenza A (H1N1). “Langkah pencegahan dan kawalan yang diambil oleh agensi pelancongan demi memastikan keselamatan peserta rombongan pelancongan yang telah mendaftarkan diri ialah menundakan jadual perjalanan mereka,” katanya. Bagaimanapun, Narayanan berkata, beliau tidak fikir jumlah rakyat tempatan yang hendak berkunjung ke destinasi Asia seperti China dan Hong Kong akan berkurangan secara drastik pada masa ini. “Saya baru pulang dari China hari ini dan mendapati masih ramai rakyat Malaysia berada di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang untuk menunggu penerbangan menuju ke negara tersebut,” kata beliau.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: